Nugraha harap final Piala Suzuki lancar di Bukit Jalil, Ahad ini
HENTI segera permainan jika ada gangguan. Itulah amaran dilaungkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI), Nugraha Besoes.
Kami tidak mahu situasi sama seperti perlawanan antara Malaysia dan Vietnam di sini berulang, di mana seorang penonton ditangkap kerana memancarkan laser pada pemain Vietnam, kata Nugraha pada satu sidang akhbar di Kedutaan Indonesia di ibu negara, semalam. Tetapi kita tidak akan menarik diri, perlawanan akan diteruskan apabila situasi terkawal. Ini adalah satu situasi luar biasa di mana belum pernah terjadi dalam sejarah Piala AFF Malaysia dan Indonesia bertemu pada final, jadi kita mahu perlawanan ini berjalan lancar tanpa ada gangguan luar yang akan merosakkan sejarah baru ini.
Saya berpuas hati dengan jaminan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika mesyuarat kelmarin dan saya harap penyokong dari kedua-dua pihak menjaga tata susila pertandingan sebagaimana juga pemain-pemain.
Sementara itu, sejumlah 15,000 tiket diperuntukkan kepada penyokong Indonesia dan akan mula dijual di kedutaan negara itu di Malaysia bermula jam 9 pagi, hari ini. Kami memohon 25,000 tiket disediakan tetapi selepas berunding dengan FAM, hanya 15,000 diberikan, kata Nugraha.
Sementara itu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Dai Bachtiar menyeru warga Indonesia di sini mengambil kesempatan memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan mereka pada aksi final pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini.
Mari kita sama-sama berbondong-bondong ke Bukit Jalil, jika ada mana-mana kumpulan yang perlukan bantuan untuk ke perlawanan itu, sila datang ke Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), kata Dai di sidang akhbar sama semalam
No comments:
Post a Comment